You are currently viewing RUMAH KENA POTONG ELEKTRIK KERANA TIDAK MAMPU BAYAR BIL

RUMAH KENA POTONG ELEKTRIK KERANA TIDAK MAMPU BAYAR BIL

11 Feb 2020 – Biasanya beliau tinggal bersama anak saudaranya, namun pemilik nama Letchumy A/P Kupusamy ini bersendirian semasa kami berkunjung ke rumah beliau di Fasa 3. Rumah yang beliau duduki sejak awal tahun 2002 itu adalah kepunyaan adiknya.

Semasa bersalaman, tangannya basah dek air kerana wanita berumur 70 tahun itu sedang mencuci pakaian menggunakan tangan. “Dah 2 tahun mesin basuh rosak. Dan sejak tu saya basuh pakai tangan,” katanya tersenyum bangga.

Semasa muda beliau pernah bertugas sebagai assistant supervisor di Texas Instrument. Namun selepas bersara dan tiada sumber pendapatan, beliau dibantu oleh 2 orang adik perempuannya. ” Cukup ke duit yang adik bagi? ” kami memancing. Dia mengangguk laju. Namun apabila ditanya kenapa tak bayar bil elektrik hingga dipotong, beliau terpaksa mengakui bajet bulanan kadangkala terganggu dek serangan asthma tengah malam yang memerlukan beliau mendapat rawatan neb dan ubatan di klinik swasta berhampiran.

Walaupun usianya 70 tahun, Auntie Letchumy masih mampu berjalan jauh dan naik turun bas sekiranya beliau perlu ke kedai atau ke bandar Meru.

Tanpa ditanya beliau memberitahu kami bahawa adik yang sangat rapat dengan beliau adalah seorang muslim. Malah anak saudara yang tinggal dengan beliau adalah seorang muslim. “Kalau macam tu, auntie mesti pandai assalamualaikum,” usik saya. “Bismillahirrahmanirrahim semu saya tahu,” balas auntie Letchumy sambil disambut gelak tawa kami.

Sebelum pulang, kami menyampaikan sumbangan ikhlas daripada Kelab Sosial dan Kebajikan Cakna Puncak Alam (iCare) kepada beliau.

Catatan oleh :
Pn Suria
AJK iCare Puncak Alam