NAK BELI GULA
Dari jauh kelihatan beberapa Rakan Jalanan yang terpilih mulai memenuhi kawasan yang dijanjikan untuk bertemu. Seorang wanita yang sangat saya ingat wajahnya kerana sering ada setiap kali pertemuan diadakan, kelihatan sedikit gusar diwajahnya. Mak Cik nak beli apa dengan wang ni nanti? Pertanyaan yang terlintas difikiran dengan harapan wajah itu kembali bermaya. Dengan nada perlahan terus menjawab, nak beli gula..
Fikiran jauh melayang mengimbas kembali bagaimana pertama kali kami menerima tanggungjawab untuk menyantuni sahabat gelandangan yang lebih mesra kami gelarkan sebagai Rakan Jalanan. Apa reaksi mereka, adakah kehadiran kami akan diterima, benarkah sangkaan ramai golongan ini tidak harus didekati, mereka berpenyakit, bermasalah.. Pelbagai persoalan mulai sesak difikiran.
14/3/2020, cukup 3 bulan agen kasih sayang iCare menyantuni mereka.Segala persoalan sebelum ini sudah hampir terjawab sepenuhnya . Mereka yang terpilih pada hari ini adalah khas untuk yang istiqomah didalam program solat dan Ngaji yang dianjurkan sepanjang 6 pertemuan rasmi sebelum ini. Sebagai tanda penghargaan, iCare membawa mereka ke pasaraya terpilih untuk membeli belah.
Pasaraya Billion Port Klang dan Mydin Klang menjadi lokasi pilihan dan disinilah kami memberi tempoh selama 1 jam untuk mereka berbelanja. Pelbagai reaksi dan ragam, ada yang lebih kepada memenuhi kehendak peribadi dan ada yang membeli mengikut keperluan harian. Ada yang sangat berhati-hati memilih barangan agar tidak melebihi had yang ditetapkan dan tak kurang juga yang kurang ambil peduli tentang harga. Barangkali terlalu teruja kerana diberikan peluang sebegini.Lumrah manusia dengan pelbagai latarbelakang, bukan mereka sahaja begitu malah antara kita juga ada yang berkelakuan sedemikian.
Seusai selesai mereka berbelanja, tidak lekang dimulut mereka mengucapkan rasa terima kasih. Kelihatan berjinjit beg dikiri dan kanan tangan. Terukir kegembiran diwajah mereka, kerana ada habuan untuk ahli keluarga yang menanti barangkali. Peluang akhir ini kami gunakan sebaiknya untuk saling mengingati, nikmat yang dirasai hari ini semuanya dengan izin dan kasih sayang Allah. Solat jangan sesekali ditinggalkan.Mereka juga seperti kita, perlukan perhatian dan bimbingan jangan biarkan mereka terus terpinggir dan tersingkir. Bantulah mereka semampunya, ujian mereka adalah ujian untuk kita juga.
Sebelum berpisah, terdetik juga rasa sedih kerana bimbang jika ilmu yang diajar sebelum ini terbiar begitu sahaja, Ramadhan pula bakal menjelma, bagaimana dengan nasib mereka?
Kami sudah mula merangka sesuatu untuk mereka sempena Ramadhan kelak. Anda ingin bersama kami? Ayuh kami perlukan sumbangan anda untuk menjayakan misi Ramadhan Rakan Jalanan (RRJ)..semoga mereka dapat merasai pengalaman berbeza dan bermakna di bulan Ramadan tahun ini.
Oleh : Pn Ardiantee