Kenyataan Media i-Care Puncak Alam
7 September 2019 / 7 Muharram 1441H
Sokongan Teks Khutbah Jumaat Jabatan Agama Islam Selangor 6 September 2019
iCare Puncak Alam membaca kenyataan segelintir pihak secara terang-terangan mengkritik teks khutbah Jumaat 6 September 2019 berkenaan sambutan Hari Karbala pada 10 Muharam oleh pengikut Syiah yang disediakan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).
iCare menolak kritikan tersebut dan menyokong penuh teks khutbah berkenaan apatah lagi ajaran syiah telah difatwakan sesat dan menyeleweng bukan sahaja di Selangor bahkan di semua negeri.
iCare melihat kritikan berkenaan sebagai tidak berasas melainkan propaganda segelintir pihak yang cuba mempertahan dan mempromosikan kesesatan ajaran syiah itu sendiri.
Maka, iCare menyeru umat Islam khususnya di Selangor agar berpegang teguh kepada pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah dan menolak sebarang bentuk dakyah dan amalan syiah seperti:
1. Menyambut hari kematian dan kedukaan Saidina Husain pada hari Asyura dan mencederakan kepala serta tubuh badan (tatbir).
2. Mengkafirkan Ummul Mukminin Saiyidatina Aisyah Binti Abu Bakar dan isteri-isteri Rasulullah SAW yang lain.
3. Mengkafirkan para sahabat terutama Saidina Abu Bakar As Siddiq, Saidina Umar Al Khattab dan Saidina Uthman Al Affan.
iCare juga menyeru agar pihak berkuasa terus melakukan pemantauan serta mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang cuba menyebarkan, mengamal dan mempromosi ajaran syiah ini daripada berkembang biak.
Fared Othman
Presiden iCare Puncak Alam