You are currently viewing PROGRAM JEJAK KASIH RAKAN JALANAN

PROGRAM JEJAK KASIH RAKAN JALANAN

24 Nov 2019 – Alhamdulillah syukur kepada Allah kerana memberi keizinan serta kekuatan kepada semua warga iCare yang komited dalam semua gerak kerja yg dirangka. Ahad yang lalu pada jam 9.00 malam program Rakan Jalanan 6.0 sekali lagi telah berjaya dilaksanakan. Misi kali ini iCare ditemani oleh sahabat-sahabat Ngo-i dari PEMADAM, Penyayang dan Wardah. Seramai 45 sukarelawan yang terlibat dalam menyatuni rakan jalanan di dua lokasi berbeza iaitu Klang dan Pelabuhan Klang yang melibatkan hampir 70 orang rakan jalanan (gelandangan).Jika sebelum ini, iCare menyantuni rakan jalanan ini dengan mengajar mengambil wuduk dengan penggunaan air yang minima, kali ini program lebih menumpukan kepada penyucian dan luahan hati. Ketika alunan lagu memuji Rasulullah S. A. W dimainkan, kelihatan masing-masing tertunduk, barangkali menghayati bait-bait lagu. Sesi luahan hati oleh para rakan jalanan sedikit sebanyak membuka mata tentang betapa mereka ini kesunyian tanpa bimbingan dan dipandang rendah serta disisih oleh masyarakat sekeliling. Program Rakan Jalanan ini tidak akan terhenti disini sahaja, kerana ini adalah program berterusan yang telah dirangka kemas gerak kerjanya. Insha Allah, niat mahu menjadi pemangkin kepada perubahan diri yang lebih positif dikalangan rakan jalanan ini pasti menjadi titik kuat kepada kesemua agen kasih sayang yang terpilih untuk sentiasa komited dalam kerjanya.